Proses permohonan kewarganegaraan pemain warisan ikut prosedur

Proses permohonan kewarganegaraan pemain warisan ikut prosedur

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua proses permohonan berhubung kewarganegaraan tujuh pemain warisan dibuat mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, permohonan tersebut diproses berdasarkan peruntukan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Pendaftaran Negara, sebagaimana dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini.

Katanya, isu terbaharu berhubung pendedahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai alasan mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan kini berada dalam ruang lingkup urusan antara FIFA dan FAM.

“Sebarang tindakan susulan adalah tertakluk kepada peraturan serta keputusan yang ditetapkan badan bola sepak antarabangsa itu.

“Saya tidak berhajat menjawab lebih lanjut kerana tidak mahu bercanggah dengan penjelasan yang telah diberikan Menteri,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 Kementerian Dalam Negeri peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

18 November lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA mendedahkan alasan bertulis di sebalik keputusan mengekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen.

Keputusan yang dimuktamadkan pada 3 November itu menyatakan bahawa Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM dan pemain terbabit bergantung kepada sijil kelahiran palsu untuk mendakwa mempunyai keturunan Malaysia bagi melayakkan diri mewakili skuad Harimau Malaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN