Isi VSP sebelum pindah ke PPS, elak kes pecah rumah-Polis Kelantan

Isi VSP sebelum pindah ke PPS, elak kes pecah rumah-Polis Kelantan

MOHD. Yusoff Mamat (tiga kanan) menyerahkan bantuan kepada salah seorang mangsa banjir yang berlindung di PPS SK Kok Keli, Tumpat, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mangsa banjir di negeri ini yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) disaran memaklumkan perkara itu kepada polis menerusi sistem aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, tindakan itu bagi memudahkan anggota bertugas melakukan pemantauan di kawasan yang terjejas dengan banjir sekali gus mengelakkan berlakunya kes pecah rumah.

Katanya, setakat ini belum ada mangsa banjir berbuat demikian selepas berpindah ke PPS

“Ramai salah anggap kegunaan VSP hanya musim perayaan sahaja. Aplikasi ini turut terpakai untuk musim banjir. Caranya mudah hanya muat turun aplikasi tersebut di telefon, isi borang bagi memudahkan kami membuat rondaan tanpa perlu datang ke balai.

“Aplikasi ini memudahkan kami membuat rondaan secara berkala di penempatan yang terjejas sekali gus membendung kes pecah rumah dan kecurian,” katanya kepada kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kok Keli di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, sejak banjir melanda negeri ini bermula Sabtu lalu, Polis Kelantan belum menerima sebarang maklumat berkaitan kes pecah rumah dan kecurian.

Katanya, rondaan secara berkala di kawasan terjejas dengan banjir sentiasa dilakukan bagi memastikan penempatan penduduk berada dalam keadaan baik.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Yusoff menasihatkan rakyat negeri ini supaya tidak menjadikan banjir sebagai pesta untuk bermain air kerana ia boleh mengancam nyawa.

Katanya, setakat ini satu korban banjir telah direkodkan melibatkan warganegara Indonesia yang dihanyutkan kepada air di Gua Musang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN