PENAMPANG: Pakatan Harapan (PH) menafikan pembabitan parti itu dalam pembiayaan kempen media sosial bagi memburukkan Parti Warisan (Warisan) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, berkata PH tidak mempunyai dana RM8 juta seperti dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
“Saya tidak tahu apa dia cakap. Bagi PH, kami tak ada dana seperti itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media PRN Sabah, di sini hari ini.
Kelmarin, Mohd. Shafie mendakwa seteru politiknya menggunakan dana awam sebanyak RM8 juta untuk membiayai kempen media sosial dengan tujuan memburukkan Warisan melalui penyebaran mesej berunsur perkauman.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mendedahkan sebanyak tiga kes berkaitan sebaran dalam tempoh PRN Sabah telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Setakat ini terdapat tiga kes yang telah dimaklumkan. Saya tidak diberi perincian kes-kes tersebut tetapi dua kes sedang dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertimbangan langkah seterusnya, manakala satu lagi kes masih dalam siasatan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan maklumat lanjut mengenai isi kandungan tiga kes itu tidak boleh didedahkan kerana masih dalam proses siasatan.
Fahmi menyuarakan kebimbangan terhadap kempen PRN Sabah yang menggunakan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum sebagai bahan politik.
“Ini tidak dibenarkan. Berkempenlah dengan sihat. Gunakan hujah secara cerdik dan cerdas. Kita tidak mahu tindakan yang merosakkan keharmonian serta perpaduan dalam masyarakat,” tegasnya.
Menurutnya, MCMC bersama Kementerian Komunikasi akan mengambil tindakan sekiranya menerima aduan melibatkan penggunaan isu 3R dalam kempen pilihan raya. – UTUSAN










