SHAH ALAM: Penduduk di negeri ini khususnya di kawasan terdedah dengan banjir boleh mengakses maklumat berkenaan perkembangan kemajuan projek tebatan bencana itu.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, akses maklumat tersebut dibuat menerusi penyediaan papan pemantauan yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
Menurutnya, papan pemantauan tersebut dijangka boleh disiapkan selewat-lewatnya enam bulan sebelum orang ramai boleh mengetahui perkembangan projek di kawasan mereka.
“Itu maklumat dan bukan ada rahsia serta boleh kongsi. Tiada sebab kita perlu sembunyikan benda ini. Kalau ada isu dengan kontraktor kita ambil tindakan.
“Pada masa sama, kita bantu juga (kontraktor), namun mereka perlu beri kerjasama untuk siapkan projek yang diluluskan dalam membantu pengurusan banjir di Selangor,” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek mitigasi banjir di Seksyen 23, hari ini.
Jelas beliau, hampir RM3.5 bilion peruntukan disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan 18 projek mitigasi banjir jangka panjang, sementara kerajaan negeri pula memperuntukkan RM500 juta bagi 20 projek yang dijalankan serentak di seluruh negeri.
Tambah Izham, sebelum ini beliau turut meluluskan 142 projek segera dalam tempoh dua bulan di lapan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kerap dilanda banjir.
“Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM27 juta dengan 142 projek. Alhamdulillah, saya tengok di banyak tempat yang sebelum ini sering banjir didapati sudah tiada atau minima keadaannya.
“Ini termasuk di Bukit Naga, Sungai Kandis, Bukit Kemuning dan Kampung Air Kuning yang dapat diatasi masalah banjirnya,” jelasnya.
Mengulas mengenai keadaan infrastruktur di Hulu Langat, Izham memaklumkan walaupun projek Penyelarasan Banjir Rancangan Tebatan Banjir Langat 2 (Pakej 1) mendapat peruntukan lebih RM500 juta, ia masih dalam peringkat penerimaan dan reka bentuk.
“Sementara menunggu pelaksanaan penuh, beberapa projek interim sedang dijalankan bagi meminimumkan impak banjir kepada kawasan terlibat.
“Kita juga perlu koordinasi atau penyelarasan dengan Syarikat Air Selangor Sdn. Bhd. disebabkan projek tebatan itu memerlukan kerja-kerja pengorekan, rumah pam dan pengukuhan tebing,” ujarnya. – UTUSAN










