ARAU: Biar pun menempuh fasa pemulihan mencabar selepas disahkan menghidap kanser tulang pada April tahun lalu, namun tidak menghalang Leong Keng Yik, 31, bangkit menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan (Sarjana Sains) di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Leong Keng berkata, pada peringkat awal, dia mengetahui mengidap penyakit itu selepas menjalani pemeriksaan di hospital berikutan mengalami kesakitan pada bahagian kaki.
Katanya, selepas pemeriksaan itu, dia telah dirujuk bagi mendapatkan dignosis lanjut di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang dan disahkan mengidap kanser tulang.
“Saya juga dinasihatkan menjalani pembedahan segera malah prosedur tersebut dilakukan pada 20 Jun tahun lalu di mana pengajian saya di Unimap masih sedang berjalan,” katanya.
Keng Yik berkata, tempoh paling sukar dihadapinya adalah selepas menjalani pembedahan itu di mana dia tidak dapat berjalan selama hampir empat bulan malah turut menanggung tekanan emosi dan gangguan tidur sepanjang proses pemulihan tersebut.
Ujarnya, dia bersyukur kerana mendapat sokongan kuat daripada ahli keluarga, penyelia universiti dan rakan-rakan dalam menempuh fasa sukar tersebut.
“Penyelia saya sanggup datang melawat bagi memberi semangat untuk saya sentiasa berfikiran positif dan bangkit semula. Malah doktor yang merawat juga sentiasa membantu fisioterapi dan memastikan saya tidak hilang motivasi dalam keadaan sukar itu,” katanya.
Keng Yik berkata, dia masih meneruskan rawatan susulan penyakit tersebut dan keadaan besi bersama tulang pada bahagian kakinya juga semakin kuat selepas pembedahan itu.
Dia yang kini bertugas sebagai Ketua Platun di Kompeni Alpha, Batalion 1, Rejimen Askar Wataniah 504, Bukit Keteri turut berhasrat bagi menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selepas ini.-UTUSAN










