Elaun Bantuan Mobiliti bantu pekerja mula kerja baharu

Elaun Bantuan Mobiliti bantu pekerja mula kerja baharu

ABDUL HALIM MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengenalan Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) di bawah pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 disifatkan sebagai langkah tepat bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan memulakan kerja baharu di lokasi baharu dengan lebih mudah dan cepat.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, elaun baharu itu merupakan antara penambahbaikan di bawah program penempatan pekerjaan semula yang diumumkan melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 [Akta 800] oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, langkah memperkenalkan EBM dan meningkatkan kadar faedah sedia ada membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial untuk golongan pekerja, khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Langkah memperluas perlindungan sosial melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) ini tentu sekali akan memberi lebih faedah kepada golongan pekerja yang mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kehilangan pekerjaan mereka. 

“Selain itu juga, program penempatan pekerjaan semula yang bakal ditambah baik dengan peningkatan kadar faedah sedia ada serta pengenalan faedah baharu iaitu EBM bakal memudahkan lagi pekerja untuk memulakan kerja baharu di tempat baharu seiring dengan tuntutan-tuntutan semasa yang semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata, pindaan ini merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial buat golongan pekerja di negara kita. 

“MTUC komited bagi memastikan golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan mereka untuk terus dibantu dan dilindungi dengan sebaik-baiknya supaya mereka berpeluang untuk kembali ke alam pekerjaan dengan lebih bersemangat waja,” katanya. 

Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 bagi memperkukuh sistem perlindungan sosial negara dan memperluas perkhidmatan pekerjaan kepada lebih ramai rakyat, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu dibentangkan Steven Sim yang memaklumkan bacaan kali kedua akan dibuat pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.

Kementerian Sumber Manusia menerusi kenyataan memaklumkan RUU itu bertujuan meningkatkan faedah kepado pencarum Perkeso  yang kehilangan pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN