KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mendedahkan simpanan jongkong emas milik negeri ini mencecah sehingga RM51 juta.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, nilai tersebut berpandukan kepada harga emas semasa hari ini.
Katanya, kesemua jongkong-jongkong emas itu berada dalam pemilikan kerajaan.
“Kita (kerajaan negeri) tidak memasukan perkara ini dalam akaun yang satukan kerana kerana kerajaan negeri mengamalkan belanjawan tahun berasaskan tunai.
“Dimana ia melibatkan urusniaga tunai sahaja, manakala terimaan hasil dalam bentuk fizikal seperti jongkong (emas) ada dinyatakan dalam penyata kewangan kerajaan negeri setiap akhir tahun,” katanya semasa penggulungan pembentangan Belanjawan Kelantan 2026 pada Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohamad Fadzli memberitahu, jongkong emas ini akan diiktiraf sebagai hasil apabila ia dijual dan diakaunkan ke dalam akaun hasil yang disatukan pada tahun kewangan tersebut.
Katanya, hal ini bertepatan dengan peruntukan undang-undang yang terdapat dalam Perkara 97, Perlembagaan Persekutuan.
“Perbendaharaan negeri bercadang menjadikan jongkong emas ini sebagai sandaran bagi pinjaman kewangan negeri dengan persekutuan.
“Hal ini kerana polisi pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan menetapkan sandaran kepada semua pinjaman yang bernilai sama ada tanah atau emas,” ujarnya.-UTUSAN










