PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) diminta mengambil tindakan segera meningkatkan aspek keselamatan kenderaan kerajaan susulan nahas di Teluk Intan yang meragut sembilan nyawa anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) Mei lalu.
Perkara itu dibangkitkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang memberitahu, kementeriannya telah menyiapkan laporan serta syor berhubung kemalangan itu.
Antara syor Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung kemalangan maut itu yang dikeluarkan sebelum ini termasuk mewajibkan pengguna tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk dalam kenderaan kerajaan.
Kenderaan kerajaan juga perlu menggalakkan penggunaan bas bagi tujuan bukan operasi yang melibatkan pergerakan anggota selain pemasangan dashcam, peluasan teknologi pemantauan kepada kenderaan selain meningkatkan ciri keselamatan asas (tali pinggang keledar, penyandar kepala, titik tambahan muatan).
Semua piawaian teknikal dan latihan pemandu operasi juga perlu disemak semula di samping mengguna pakai reka bentuk tempat duduk belakang yang lebih selamat seperti disyorkan dalam laporan itu.
“Saya telah bentangkan laporan tersebut kepada Jemaah Menteri minggu lalu sebelum didedahkan kepada umum. Oleh itu, saya mohon kerjasama daripada kementerian-kementerian terlibat, khususnya KDN dan Mindef untuk mengambil tindakan susulan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini, semalam.
Anthony mengakui, pelaksanaan cadangan itu bukan satu perkara mudah kerana melibatkan proses naik taraf kenderaan sedia ada serta kemungkinan perolehan aset baharu yang memerlukan masa dan perancangan rapi.
“Pada akhirnya, kementerian berkaitanlah yang perlu bertindak. Cabarannya besar, tetapi ia penting bagi memastikan keselamatan anggota pasukan keselamatan di jalan raya,” katanya.
Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung kemalangan maut membabitkan lori membawa muatan batu kerikil dan lori FRU di Teluk Intan pada 13 Mei lalu, mendapati punca utama kemalangan adalah akibat muatan berlebihan (lebih muatan) pada lori tipper yang membawa batu kerikil melebihi 70 peratus daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.
Kelebihan muatan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh.
Laporan turut mengesahkan tiada kegagalan mekanikal pada sistem brek atau stereng, sebaliknya kemalangan berpunca daripada kelemahan pematuhan operasi, termasuk pengawasan dalaman syarikat pengendali lori dan ketiadaan sistem pemantauan GPS berfungsi.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dijangka terus berkembang selepas dipilih sebagai hab pemindahan sementara global (transshipment) oleh syarikat perkapalan terkemuka dunia, Maersk.
“Kedudukan PTP kini semakin kukuh dengan pertumbuhan dua angka dalam pergerakan kontena. Kita yakin PTP akan menyertai Pelabuhan Klang sebagai antara 10 pelabuhan utama dunia tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN










