BEIJING: Syarikat penerbangan utama milik kerajaan China, Air China, mengumumkan pengurangan jumlah penerbangan antara bandar-bandar negara itu dan Jepun bermula akhir bulan ini.
Keputusan syarikat itu dipercayai dibuat susulan ketegangan politik yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.
Menurut Air China, bilangan penerbangan antara Shanghai dan Osaka akan dikurangkan daripada 21 perjalanan pergi balik setiap minggu kepada 16 perjalanan mulai 30 November hingga 28 Mac 2026.
Pada Disember, syarikat penerbangan tersebut akan mengurangkan penerbangan antara Chongqing dan Tokyo daripada tujuh perjalanan pergi balik seminggu kepada empat.
Seorang pegawai syarikat penerbangan menjelaskan, pengurangan itu berpunca daripada kekangan ketersediaan pesawat.
Sementara itu, syarikat penerbangan China yang lain, Sichuan Airlines, memutuskan untuk membatalkan semua penerbangan antara Chengdu dan Sapporo dari 1 Januari hingga 28 Mac 2026.- AGENSI










