TAWAU: Sabah memerlukan pendekatan radikal dan berani untuk menyelesaikan masalah air, elektrik dan jalan raya yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi berkata, pendekatan tradisional melalui pelan berperingkat tidak lagi berkesan dan terbukti gagal memberikan penyelesaian jangka panjang.
“Kalau kita guna kaedah sekarang, percayalah, ia tidak akan berjaya. Kita perlukan pendekatan radikal sebagaimana pelaksanaan projek-projek besar seperti MRT dan ECRL,” katanya dalam sidang media di kediamannya di Kampung Haji Mathair di sini, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar Special Purpose Vehicle (SPV) ditubuhkan bagi pengurusan infrastruktur secara profesional di negeri ini.
Katanya, cadangan penubuhan SPV khusus untuk tiga isu serangkai iaitu air, elektrik dan jalan raya yang akan ditadbir oleh pasukan profesional dan bebas daripada campur tangan politik.
Katanya, SPV tersebut boleh dibiayai melalui penerbitan sukuk dengan sokongan kerajaan negeri dan Persekutuan serta disandarkan kepada kekuatan aset-aset anak syarikat kerajaan.
“Ia mesti telus, mesti ada good governance. Kalau kita berani lakukan pembaharuan ini, lima tahun dari sekarang Sabah boleh berubah secara drastik,” jelasnya.
Beliau turut menekankan peningkatan ekonomi sebagai komponen penting untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dengan antara isu dibangkitkan penduduk ialah majikan masih membayar gaji harian di bawah kadar minimum.
“Kalau pendapatan lebih rendah daripada gaji minimum RM1,700, itu sudah salah ikut Akta Pekerjaan. Kita kena melibatkan diri majikan supaya patuh undang-undang dan pastikan belia kita dapat pendapatan yang wajar,” ujarnya.
Menjawab pandangan sesetengah pihak mengenai sentimen ‘Sabah untuk Sabahan’, Ruji menegaskan bahawa Sabah hanya boleh maju melalui kerjasama yang erat dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kalau kita mahu maju, Sabah for Malaysia. Peruntukan besar datang dari Kerajaan Malaysia, dan Sabah ditadbir oleh orang Sabah. Ramai anak Sabah sudah berjaya di peringkat nasional,” katanya. – UTUSAN










