KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) merayu pengundi Sabah agar memberi mandat kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok demi memastikan negeri ini kembali menikmati kestabilan politik dan pembangunan menyeluruh selepas bertahun-tahun berdepan ketidaktentuan.
Rakyat Sabah berhak menerima kerajaan yang fokus kepada kerja dan penyampaian, bukan kerajaan yang terus-menerus dihimpit perebutan kuasa sehingga menjejaskan pembangunan negeri.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Sabah sebelum BN memerintah menyaksikan ketidakstabilan politik, tetapi keadaan berubah selepas parti itu mengambil alih pentadbiran negeri pada 1994 hingga berjaya memacu era pembangunan baharu.
Katanya, keadaan kembali berubah selepas BN tewas pada 2018 menyebabkan negeri berdepan semula ketidaktentuan politik yang berpanjangan.
“Jadi BN kali ini menekankan kerajaan yang stabil sebagai asas utama memastikan pelaburan, pembangunan ekonomi dan prasarana dapat dilaksanakan tanpa gangguan politik dalaman yang sering menjadi penghalang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sabah tidak boleh lagi kehilangan masa akibat pertelagahan kuasa. Rakyat perlukan kerajaan yang mampu mengurus, bukan sekadar berjanji dan pandai slogan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, hanya gabungan yang mempunyai pengalaman mentadbir dan rekod pengurusan yang kukuh dapat mengembalikan pembangunan konsisten, terutama dalam konteks kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Justeru, kata Bung Moktar, manifesto BN yang dinamakan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) menawarkan komitmen parti jika diberi mandat untuk memerintah kerajaan negeri selepas PRN Sabah.
RPS1 merangkumi aspek Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara, Pendidikan Berkualiti Untuk Semua, Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan serta Kelestarian Sumber Alam.
Enam asas merangkumi pelbagai aspek termasuk menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri maksimum dua penggal dan tawaran pendidikan percuma untuk pelajar Sabah serta mewujudkan Dana Kemakmuran Negeri Sabah.
Malah RPS1 membawa perubahan besar khususnya apabila BN berjanji memperkasakan Mahkamah Anak Negeri termasuk menjadikan jawatannya sebagai jawatan tetap.
BN juga memberi jaminan generasi muda Sabah tidak akan dipinggirkan melalui perluasan peluang pendidikan teknikal, pusat latihan TVET dan program perantis bersama industri besar bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Calon BN Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir berkata, BN komited untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai laluan utama masa depan anak Sabah dengan menawarkan bantuan komprehensif bagi memastikan mahasiswa dapat menumpukan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa terbeban tekanan kewangan.
Katanya, antara inisiatif utama ditawarkan ialah pengajian tinggi percuma untuk keluarga berpendapatan rendah sekali gus membuka akses pendidikan kepada lebih ramai anak Sabah.
“BN juga memperkenalkan Skim Ikhlas berjumlah RM2,000 kepada setiap pelajar baharu yang memasuki universiti bagi membantu kos permulaan pengajian, diikuti Kad Siswa bernilai RM500 setahun sebagai sokongan kos sara hidup sepanjang tempoh mereka belajar,” katanya.
Beliau menegaskan, setiap anak Sabah mesti diberikan peluang belajar dan berjaya serta BN yakin tawaran tersebut mampu memperkasa generasi muda sebagai aset kemajuan negeri dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, kemudahan asas luar bandar turut menjadi keutamaan BN termasuk menyelesaikan masalah tiga serangkai yang membelenggu negeri ini sejak sekian lama iaitu pembinaan jalan, bekalan air bersih dan elektrik.
Calon BN bagi DUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak percaya Sabah hanya dapat dimajukan secara menyeluruh apabila semua komuniti diberikan ruang sama rata untuk menikmati pembangunan.
“Tidak ada rakyat Sabah yang harus tertinggal. Sabah ialah satu keluarga besar dan kita mesti maju bersama,” katanya.
Di peringkat ekonomi, manifesto BN menekankan rancangan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah melalui industri pelancongan, pertanian moden, tenaga, serta minyak dan gas, bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Untuk itu raskyat diseru rakyat memberikan peluang kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri yang kukuh agar agenda pembaharuan dan pembangunan dapat dilaksanakan tanpa halangan politik, kerana masa depan Sabah tidak boleh dipertaruhkan lagi.
BN mengajak rakyat Sabah untuk keluar mengundi dengan penuh tanggungjawab dan memilih kerajaan yang mempunyai kemampuan, rekod, kesediaan bekerja serta keutamaan jelas dalam menjaga kebajikan rakyat demi kestabilan dan kemajuan negeri ini. – UTUSAN










