CHICKASHA: Sebuah mahkamah perbandaran dan perpustakaan di bandar Oklahoma membenarkan orang ramai untuk ‘membayar’ saman lalu lintas serta denda yang tertunggak dengan menderma makanan.
Sepanjang November dan Disember, individu yang mempunyai kesalahan perbandaran atau denda buku perpustakaan di bandar Chickasha, boleh menderma makanan untuk mengurangkan atau menghapuskan denda di kedua-dua institusi tersebut.
“Penduduk yang mempunyai saman lalu lintas perbandaran atau denda buku perpustakaan tertunggak kini boleh menyumbang makanan untuk mendapat pengurangan denda melalui dua program ‘Makanan untuk Denda,” kata pegawai bandar dalam notis rasmi di laman web Chickasha.
Mahkamah perbandaran Chickasha menganjurkan program tersebut sehingga 26 November, yang membolehkan individu mempunyai saman menyerahkan barangan makanan dan menerima pengurangan denda AS$10 (RM41) bagi setiap barang sehingga AS$100 (RM413)
Pegawai bandar berkata, mereka yang mempunyai waran tertunggak digalakkan untuk menyertai program tersebut ‘tanpa takut ditangkap’.
Manakala, individu yang mempunyai denda melebihi AS$100 mungkin dibenarkan membuat pelan pembayaran untuk baki tambahan.
Tahun lalu, 30 orang menyumbang makanan bernilai AS$2,826 (RM11,678) sebagai pengurangan denda, termasuk mereka yang mendermakan lebih daripada diperlukan.
Perpustakaan awam Chickasha akan menjalankan program sama sepanjang bulan Disember.
Sumbangan makanan tidak boleh digunakan untuk membayar denda bagi buku yang hilang atau rosak.
Namun, buku yang dipulangkan layak untuk program tersebut, dan sebarang jumlah makanan yang disumbangkan boleh digunakan untuk membayar sebarang denda tertunggak.- AGENSI










