KANGAR: Banjir di Perlis yang semakin buruk sedikit sebanyak mengganggu persediaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dengan bencana tersebut.
Mereka yang terjejas itu, terpaksa berlindung dan membuat persediaan menghadapi peperiksaan besar itu di pusat pemindahan sementara (PPS).
Nurul Izza Syamimi Azmi, 17, berkata, dia sememangnya sudah membuat persediaan sejak tiga bulan lalu bagi menghadapi peperiksaan tersebut namun bencana yang berlaku itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya.
“Memang persediaan itu sedikit terjejas bila jadi bencana macam ini (banjir). Tapi saya cuba untuk kekal fokus bagi menjawab peperiksaan bertulis Bahasa Melayu kertas 1 dan 2 yang bermula esok,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PPS Dewan Warisan, semalam.
Nurul Izza yang merupakan pelajar aliran perakaunan berkata, sebelum dipindahkan ke PPS itu, dia sedang mengikuti kelas tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra bersama rakannya sekitar pukul 8 malam.
Katanya, sewaktu pulang dari sekolah, keadaan banjir di rumahnya semakin teruk dan menyebabkan mereka sekeluarga perlu berpindah dari rumah di Kampung Tebing Tinggi.
Ujarnya, dia juga diberi kelonggaran untuk memakai pakaian biasa semasa menjawab peperiksaan SPM berikutan semua kelengkapan sekolah masih berada di rumah.
“Walaupun berlaku bencana banjir ini, saya cuba untuk kekal fokus dan mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi SPM,” katanya.
Katanya, ibu, Norazila Arif, 50, dan ayahnya, Azmi Hashim, 46, juga sentiasa memberi sokongan moral agar dia kekal bertenang untuk menghadapi peperiksaan itu.-UTUSAN










