TEMERLOH: Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menggesa kerajaan menjalankan audit menyeluruh terhadap semua kuarters guru di seluruh negara, susulan banyak blok kediaman terbabit dilaporkan terbiar, rosak dan kosong sejak sekian lama.
Presidennya, Mohamad Zapawi Mamat berkata, ia membimbangkan apabila banyak laporan media mendedahkan isu kuarters guru yang tidak lagi didiami, selain mengalami kerosakan serius sehingga tidak selamat untuk dihuni.
“Terbaharu dalam siaran Utusan Malaysia bertajuk Serah kuarters guru terbiar di Kerdau kepada jabatan lain yang menyorot keadaan bangunan itu yang terbiar sejak bertahun-tahun.
“Situasi seperti ini tidak boleh dianggap remeh kerana ia melibatkan pembaziran aset kerajaan dan menjejaskan kebajikan warga pendidik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mohamad Zapawi berkata, pihaknya menghargai usaha pihak berkuasa dalam pengurusan aset selama ini, namun dalam isu kuarters guru kelengahan penyelenggaraan dilihat amat ketara dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.
Katanya, keadaan bangunan yang tidak terurus bukan sahaja menimbulkan imej negatif terhadap pengurusan aset kerajaan, malah memaksa guru berpindah keluar demi mencari kediaman yang lebih selesa dan selamat untuk didiami.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kongres mengesyorkan beberapa tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya supaya isu kuarters terbengkalai tidak berulang.
“Audit menyeluruh perlu dilakukan segera bagi menentukan tahap kerosakan sebenar kuarters yang dilaporkan kosong, terbiar atau tidak selamat didiami. Daripada audit itu, barulah tindakan pemulihan dapat dirancang dengan lebih tepat dan berfakta,” katanya lagi.-UTUSAN.










