Akses pendidikan pelajar Bumiputera ke global diperluas

Akses pendidikan pelajar Bumiputera ke global diperluas

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) terus memperkasa usaha memperluas jaringan pendidikan ke peringkat antarabangsa bagi membuka lebih banyak peluang pengajian bertaraf dunia kepada pelajar Bumiputera.

Komitmen itu diperkukuh menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mara dan Shanghai Jiao Tong University (SJTU) hari ini.

Majlis menandatangani dan pertukaran dokumen berkenaan disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta turut dihadiri Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ahmad Zahid berkata, MoU itu menandakan permulaan era baharu kerjasama strategik antara Mara dan SJTU sekali gus membuka lembaran penting kepada hubungan akademik, penyelidikan dan pembangunan kapasiti antara kedua-dua institusi.

“Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk memperkukuh pembangunan akademik, penyelidikan serta pembinaan kapasiti selaras agenda pendidikan global MARA,” katanya ketika berucap dalam majlis pertukaran MoU berkenaan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerjasama tersebut diyakini mampu menjadi wadah transformatif yang dapat memperkasa pelajar dan penyelidik Malaysia serta merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan tinggi.

Katanya, menerusi MoU tersebut, Mara berhasrat memanfaatkan kepakaran SJTU dalam bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), sains komputer, perubatan dan pengajian maritim.

“Kami teruja dengan potensi tawaran merit-based scholarship, geran makmal serta pengurangan yuran yang disediakan SJTU yang mampu memperluas akses penyelidik Malaysia ke persekitaran ilmu berstandard antarabangsa,” katanya.

Turut dicadangkan ialah penubuhan Jawatankuasa Penasihat Teknikal yang memberi fokus kepada bidang analitik data, teknologi hijau dan pengkomersialan hasil penyelidikan melalui seminar bersama, latihan profesional dan program penanda aras.

SJTU yang kini berada pada kedudukan ke-47 universiti terbaik dunia dan ketiga terbaik di China bakal menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-130 dengan lebih 61,000 pelajar di tujuh kampus.

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan bersempena lawatan rasmi empat hari Ahmad Zahid ke China bermula semalam yang turut bertujuan memperkukuh kerjasama dalam sektor halal, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta perdagangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×