Aki Ishak masih bertenaga pada usia 100 tahun

Aki Ishak masih bertenaga pada usia 100 tahun

ISHAK Musa (tiga dari kanan) masih bertenaga ketika dikunjungi rakan-rakannya di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: “Umur saya 100 tahun, tetapi hati masih rasa macam cikgu muda,” seloroh Ishak Musa ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong.

Dilahirkan pada 22 November 1925 di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut, kampung sama yang melahirkan pahlawan Pahang, Mat Kilau, Ishak bukan sahaja mempunyai pertalian darah dengan tokoh pejuang itu malah mewarisi semangat juang dan cintakan tanah air.

“Saya ini orang sekolah Me­layu saja, tapi cikgu dulu bukan setakat mengajar dalam kelas. Orang kampung hendak tulis surat, isi borang, minta tolong apa-apa, semuanya cari cikgu,” kata Ishak kepada Utusan Malaysia.

Katanya, dia mendapat pendidikan sehingga darjah lima di Sekolah Melayu Kemahang sebelum menjadi guru pada usia remaja.

“Umur lebih kurang 16 tahun saya sudah mula mengajar di Sekolah Melayu Benta. Masa tu bukan senang, naik bas, naik lori, kadang-kadang jalan kaki. Namun bila tengok budak kampung boleh baca al-Quran, pandai menulis hilang penat,” katanya.

Beberapa tahun kemudian, dia bertukar ke Sekolah Melayu Raub sebelum bertemu jodoh dengan Radiah Mat Dom.

Bagi anak-anaknya, Ishak banyak menyimpan memori tentang pendidikan Melayu luar bandar dan muzik tradi­sional.

Anak sulungnya, bekas Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin berkata, beliau dan tujuh adik-beradiknya mewarisi bakat dan semangat patriotik ba­panya.

“Ayah jenis guru lama, tegas tapi hati halus. Murid datang lambat atau tak hormat, kena tegur. Tapi selepas marah, dia panggil balik, pegang bahu, nasihat elok-elok. Dia tak suka benci-benci murid.

“Sekarang ayah dijaga secara beramai-ramai. Anak, menantu, cucu, cicit semua ambil giliran. Ingatan terakhir, ayah ada lebih kurang 70 cucu dan 55 cicit. Bila berkumpul musim raya, kadang-kadang kena kira semula,” seloroh Sallehuddin.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN