Aduan awam turun 70% sejak polis guna kamera badan

Aduan awam turun 70% sejak polis guna kamera badan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan ka­mera badan (BWC) dalam kala­ngan pasukan polis mula me­nunjukkan kesannya apabila jumlah aduan terhadap pasukan keselamatan itu menurun sejak ia diperkenalkan pada tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah aduan awam turun de­ngan ketara iaitu kira-kira 70 peratus berbanding sebelum penggunaan BWC dalam usaha meningkatkan tahap integriti bagi anggota dan keyakinan orang ramai.

“Bagi anggota polis itu sendiri, pemakaian BWC ini menjadikan mereka lebih yakin kerana menjadi benteng mereka. Jika tiba-tiba polis menjadi subjek komen atau dakwaan, rakaman audio dan video itu boleh dijadikan bahan bukti. Malah ia boleh membantu menyelesaikan kes jenayah lain.

“Isu utamanya ialah keyakinan masyarakat dan integriti pasukan. Pelaksanaan setakat ini menunjukkan hasil yang sa­ngat bagus.

“Misalnya, jumlah aduan awam terhadap unit rondaan bergerak menurun dengan ke­tara. Kalau purata aduan sebelum ini sekitar 60 lebih sebulan, sekarang hanya sekitar 20 lebih sahaja. Itu penurunan yang sa­ngat ketara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Menurut Saifuddin, sejumlah 10,000 unit tambahan lagi BWC dimohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuhkan integriti pasukan polis terutama ketika dalam penugasan di lapangan.

Beliau berkata, pada masa ini sebanyak 7,648 unit BWC telah selesai diagih dan dipasang ke seluruh kontinjen polis di negara ini dengan kos berjumlah RM28.4 juta.

Katanya, projek perintis BWC telah dilaksanakan dengan 1,376 unit diagihkan ke kontinjen-kontinjen polis di sekitar Lembah Klang pada Jun hingga Ogos 2024.

Ini diikuti fasa sepenuhnya sebanyak 6,272 unit bermula September 2024 hingga April tahun ini ke kontinjen lain termasuk Sabah dan Sarawak selari dengan prosedur operasi stan­dard (SOP) yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kamera ini lengkap dengan sistem perkakasan serta bilik kawalan di Bukit Aman. Pro­sesnya ialah setiap kali anggota bertugas, mereka ambil kamera, pasang pada badan dan selepas tamat tugas, mereka perlu memuat turun semua data yang dirakam.

“Data yang disimpan untuk dijadikan bahan bukti. Semua ini dilaksanakan dengan latihan, sistem yang dibangunkan, perkakasan kamera serta penyelenggaraan, semuanya dalam satu pakej.

“Ia bertujuan untuk memelihara integriti pasukan polis, supaya keyakinan masyarakat terhadap pasukan ini mening­kat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Saifuddin berkata, penggunaan BWC ini tertumpu kepada beberapa elemen polis yang penting iaitu Unit Kereta Peronda (MPV), ⁠Unit Rondaan Bermotosikal (URB) – Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta ⁠Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Selain itu, BWC turut digunakan oleh petugas Lokap Polis bagi tujuan penyeliaan dan pengawasan bersama SOP penggunaannya.

Pada masa sama, ⁠beliau memberitahu, sebanyak 17,648 kad SIM disepadukan dengan setiap unit BWC bagi membolehkan fungsi live streaming dilaksanakan semasa tugasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN