ARAU: Seramai 3,568 graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-20 yang bermula 22 sehingga 25 November ini.
Istiadat konvokesyen tersebut melibatkan lapan sidang dengan Raja Muda Perlis merangkap Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail akan berangkat menyempurnakan sidang pertama, ketiga dan kelima.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor Unimap pula akan menyempurnakan istiadat konvokesyen bagi sidang dua, empat dan enam.
Sempena istiadat konvokesyen tersebut juga, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang dilantik sebagai Pro-Canselor Unimap akan menyempurnakan sidang ketujuh dan lapan.
Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, istiadat konvokesyen yang memasuki dua dekad tersebut dianggap istimewa berikutan buat julung kalinya akan dilaksanakan di Dewan Tuanku Canselor yang baharu sahaja siap pembinaannya.
Zaliman berkata, lebih istimewa, 70 peratus graduan yang akan diraikan itu sudah mendapat pekerjaan selain sebilangan mereka ada yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Perkembangan itu menunjukkan bahawa pelajar Unimap menjadi graduan yang tersedia untuk industri malah silibus ditawarkan oleh institusi pengajian itu juga sentiasa relevan dengan permintaan semasa. Pada tahun lalu, kadar kebolehpasaran graduan Unimap juga direkodkan pada kadar 98.9 peratus.
“Kadar Kebolehpasaran Graduan dan Kadar Bekerja Graduan diukur dalam tempoh enam bulan selepas pelajar menamatkan pengajian melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikendalikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya dalam sidang akhbar bersempena Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-20 di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin Kampus Alam Unimap, Pauh Putra di sini hari ini.
Zaliman berkata, pelajar yang menamatkan pengajian di institusi pengajian itu pada tahun ini turut menunjukkan peningkatan dengan jumlah seramai 3,568 berbanding 3,296 pada tahun lalu.
“Ini merupakan salah satu faktor kepercayaan ditunjukkan oleh pelajar dan ibu bapa kepada Unimap di mana peluang untuk pelajar mendapat pekerjaan juga cerah. Malah, kemasukan pelajar pada sidang akademik 2025/2026 turut meningkat dari 2,800 tahun lalu kepada 3,600 pelajar, tahun ini,” katanya.-UTUSAN










