LAGOS: Lelaki bersenjata menculik 227 murid dan guru dari sebuah sekolah Katolik di tengah Nigeria, menjadikannya insiden penculikan sekolah kedua dalam tempoh seminggu.
Jurucakap Persatuan Kristian Nigeria berkata, semua 215 murid dari Sekolah St Mary di negeri Niger, dilarikan bersama 12 guru.
Menurut kenyataan Gereja Katolik di kawasan itu, penyerang bersenjata menceroboh sekolah berkenaan antara pukul 1 hingga 3 pagi, sebelum menculik murid, guru serta pengawal keselamatan yang turut ditembak.
“Sebahagian murid berjaya melarikan diri dan ibu bapa mula datang mengambil anak mereka selepas sekolah terpaksa ditutup,” menurut kenyataan Persatuan Kristian Nigeria yang memberikan angka 227 mangsa culik.
Susulan kebimbangan semakin memuncak di negara paling ramai penduduk di Afrika itu, pihak berkuasa negeri jiran Katsina dan Plateau mengarahkan semua sekolah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
Kerajaan negeri Niger turut menutup banyak sekolah.
Presiden Bola Tinubu membatalkan urusan antarabangsa, termasuk penyertaannya di sidang kemuncak G20 di Johannesburg, bagi menangani krisis tersebut.
Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas kumpulan bersenjata menculik 25 pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di negeri Kebbi pada Isnin.
Kerajaan negeri Niger menuduh sekolah terbabit mengingkari arahan supaya menutup sementara semua sekolah berasrama di beberapa kawasan susulan laporan risikan mengenai peningkatan tahap ancaman di kawasan yang bersempadan dengan Kebbi.
Presiden Nigeria mengarahkan pasukan keselamata berada dalam keadaan berjaga-jaga dan menghantar Menteri Pertahanan, Alhaji Bello Matawalle, untuk mengetuai operasi menyelamat pelajar sekolah Kebbi yang diculik.
Dua insiden penculikan itu dan serangan terhadap sebuah gereja di barat negara yang meragut dua nyawa, berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam tindakan ketenteraan susulan pembunuhan penganut Kristian di Nigeria.
Negara itu masih dibayangi tragedi penculikan hampir 300 pelajar perempuan oleh militan Boko Haram di Chibok, negeri Borno.
Sebahagian daripada mereka ditahan selama bertahun-tahun.- AFP










