YKPs sasar Perlis rekod sifar kes buli menerusi kempen Say No To Bully - Utusan Malaysia

YKPs sasar Perlis rekod sifar kes buli menerusi kempen Say No To Bully

AFFENDI Rajini Kanth (tiga dari kanan) bergambar dihadapan kain rentang yang akan ditandatangani oleh pelajar sebagai tanda sokongan bagi menolak budaya buli dalam majlis di SMK Syed Hassan, Kangar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs) sasar merekodkan sifar kes buli di negeri ini menerusi pelaksanaan kempen Say No To Bully yang diperluas di sekolah-sekolah sekitar Perlis.

Pelaksanaan kempen itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, di sini, hari ini, turut mendapat sambutan apabila pelajar dan guru bersama-sama menyokong inisiatif itu dengan menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai tanda menolak budaya tidak sihat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif YKPs, Affendi Rajini Kanth berkata, pelaksanaan kempen itu merupakan antara usaha dicetuskan bagi membantu mengekang budaya buli yang dilihat dapat memberi ancaman sekiranya tidak dibedung secara berkesan.

“Selain menurunkan tandatangan, terdapat juga sesi perkongsian yang disampaikan sendiri oleh saya berhubung ancaman budaya buli ini dan kesannya jika tidak diatasi.

“Langkah ini adalah sebagai kesedaran buat mereka agar tidak sesekali terlibat dengan budaya tidak sihat ini,” katanya ketika ditemui selepas pelaksanaan program itu, di sini, hari ini.

Kempen Say No To Bully telah dilancarkan pada Ogos lalu oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam majlis berlangsung di Pulau Pinang.

Kempen tersebut turut diperluaskan ke negeri ini sebagai komitmen membasmi budaya buli dengan sasaran bagi mengumpulkan sebanyak 10,000 tandatangan daripada pelajar dan orang awam.

Mengulas lanjut, Affendi berkata, YKPs juga akan terus melaksanakan kempen itu di beberapa sekolah lain sekitar negeri ini sebagai mesej penolakan terhadap budaya buli itu.

“Kita mahukan agar budaya ini ditolak sepenuhnya oleh semua pelajar dan oleh itu, YKPs akan teruskan inisiatif dengan cuba untuk pergi ke lebih banyak sekolah selepas ini bagi membawa mesej kesedaran buat mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN