KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal belum mengemukakan permohonan rayuan kepada Lembaga Disiplin parti itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, masih dalam proses menyediakan permohonan rayuan berkenaan selepas dirinya digantung keahlian selama enam bulan.
“Tengah buat (surat rayuan). Belum (sama ada hantar hari ini),” jawabnya ringkas kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Selain Wan Ahmad Fayhsal, seorang lagi ahli MPT Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat keahlian parti itu berkuatkuasa serta merta.
Lembaga Disiplin Bersatu berkata, selain Wan Saiful, turut dipecat Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.
Katanya, tindakan tersebut dibuat ekoran pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.
“Penggantungan itu dibuat berikutan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan,” – UTUSAN










