KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menghormati Lembaga Disiplin yang menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor bagaimanapun berkata, Ahli Parlimen Machang itu masih boleh mengemukakan rayuan kepada parti berhubung penggantungan tersebut.
Katanya, semua itu terserah kepada Wan Ahmad Fayhsal sama ada mahu berbuat demikian atau sebaliknya.
“Saya harap semua pihak dapat menghormati keputusan yang telah dibuat Lembaga Disiplin. Ia (Lembaga Disiplin) merupakan badan bebas yang berperanan seperti sebuah ‘mahkamah’ dalam struktur dalaman parti.
“Jadi bila Lembaga Disiplin buat keputusan kita kena terima lah (keputusan),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Kamarudin memberitahu, penggantungan Wan Ahmad Fayhsal tidak menjejaskan kedudukanya sebagai Ahli Parlimen.
Katanya, Ahmad Fayhsal masih boleh berkhidmat seperti biasa,
“Dia (Wan Ahmad Fayhsal) bukan dipecat, tapi digantung,” ujarnya.
Media hari ini melaporkan, Ahli Parlimen Machang yang juga MPT Bersatu itu digantung keahlian selama satu penggal.
Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat keahlian parti itu berkuatkuasa serta merta.
Turut dipecat Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.
Tindakan tersebut dibuat ekoran pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.-UTUSAN










