KUBANG PASU: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) muncul juara Pertandingan Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri (DPIPPM) 2025 di Universiti Utara Malaysia (UUM), malam tadi.
Lebih manis, pendebat mereka, Muhammad Idham Hafizie Zainuddin dinobatkan selaku pendebat terbaik dalam pusingan akhir yang berlangsung sengit.
Muhammad Idham Hafizie dan rakan sepasukan UPNM A menewaskan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada pertandingan yang bertemakan ‘Belia Berintegriti, Asas Ketahanan Negara’.
Pasukan UPNM B pula memenangi tempat ketiga dan kedudukan keempat diperolehi pasukan debat dari Universiti Sains Malaysia (USM).
DPIPPM menerima penyertaan 60 pasukan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kolej vokasional dan politeknik serta dua pasukan dari Bandung, Indonesia.
Pertandingan dianjurkan Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama UUM, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Yayasan Policy and Economic Affairs Centre Malaysia (PEACE).
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Zambry berkata, integriti bukan sekadar slogan yang sering disebutkan oleh Perdana Menteri tetapi dalam konteks Kerajaan Persekutuan hari ini, ia menjadi tunjang kepada pentadbiran.
“Perkataan integriti bermula daripada bahasa Latin yang disebut ‘integers’ atau ‘integritas’ yang bermakna satu bentuk yang menyeluruh, jadi dalam erti kata lain integriti bukan hanya boleh dilihat pada satu segi saja tetapi secara keseluruhan termasuk pembinaan nilai moral yang baik.
“Lantaran itulah kita melihat bagaimana sesebuah negara yang maju akan mempunyai sistem integriti yang baik seperti mana Malaysia berada pada kedudukan 57 daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2024,” katanya. – UTUSAN










