LONDON: Sebanyak 110,000 butir peluru dihantar dari Britain ke Israel pada Ogos, ketika tentera Israel meningkatkan serangan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Laporan Channel 4 mendedahkan, penghantaran bernilai 20,000 pound (RM113,299) itu adalah sebahagian daripada peningkatan keseluruhan eksport senjata United Kingdom (UK) ke Israel, dengan jumlah penghantaran bagi Ogos melebihi 150,000 pound (RM849,690), kedua tertinggi sejak Januari 2022.
Menurut laporan, barangan dalam satu daripada penghantaran itu diklasifikasikan sebagai peluru mengikut kod kastam Israel.
Penghantaran lain pada bulan sama termasuk bahagian untuk tangki, bahagian senapang patah atau senapang laras panjang dan lain-lain merangkumi peluru serta bahan letupan.
“Analisis kami terhadap data Pihak Berkuasa Cukai Israel menunjukkan amunisi bernilai sekitar 400,000 pound (RM2.2 juta) tiba dari UK dan melalui kastam Israel pada Jun 2025, jumlah tertinggi dalam sebulan sejak rekod mula disimpan lebih tiga tahun lalu.
Kerajaan Britain pernah menggantung 29 lesen eksport senjata ke Israel pada September 2024 kerana bimbang barangan tersebut mungkin digunakan dalam pelanggaran serius Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.
Sebanyak 350 lesen masih aktif, dengan lebih 160 daripadanya disenaraikan sebagai ‘ketenteraan’.
Ketika itu, kerajaan mendakwa menghalang penjualan barangan yang digunakan dalam konflik semasa di Gaza yang dibekalkan kepada tentera Israel.
Laporan itu dikeluarkan sehari selepas Parti Buruh yang memerintah Britain meluluskan usul yang menyatakan PBB telah memutuskan Israel sedang melakukan genosid di Gaza, berbeza dengan kerajaan yang enggan mengiktiraf perkara itu.
Tentera Israel membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober 2023.
Serangan berterusan itu menjadikan wilayah tersebut hampir tidak sesuai didiami serta mengakibatkan kebuluran dan merebaknya penyakit.










