Tukar pemeriksaan berkala kenderaan berat kepada tiga bulan

Tukar pemeriksaan berkala lori kepada tiga bulan

KENDERAAN berat diibarat ‘bom jangka’ yang boleh mendatangkan malapetaka sekiranya berlaku kemalangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pemeriksaan berkala terhadap kenderaan berat wajar dipendekkan tempoh daripada enam bulan kepada tiga bulan berikutan kekerapan berlaku kemalangan yang disebabkan oleh aspek teknikal seperti masalah brek dan sebagainya.

Selain itu, syarikat pemilik kenderaan berat juga digesa supaya lebih cakna terhadap tahap keselamatan dan kesiapsiagaan kenderaan berat masing-masing sebelum berada di atas jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, beban kerja yang tinggi dilakukan oleh kenderaan berat menyebabkan jangka hayat komponen lebih cepat tamat tempoh berbanding kenderaan persendirian.

“Secara teknikal dan rasional pemendekan selang masa pemeriksaan itu disebabkan kenderaan berat beroperasi di bawah beban kerja tinggi (high-duty cycle) berbanding kenderaan persendirian, melibatkan beban gandar tinggi, penggunaan brek berulang, dan tekanan haba (thermal load) pada sistem transmisi dan brek.

“Dengan kadar kehausan komponen yang tinggi, selang masa pemeriksaan enam bulan tidak lagi mencukupi untuk memastikan keselamatan optimum. Pemeriksaan setiap tiga bulan akan memendekkan tempoh kecacatan tidak dikesan dan memperkukuh kawalan penyelenggaraan pencegahan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, beberapa insiden kemalangan maut melibatkan kenderaan berat antaranya dua maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori yang mengalami kegagalan brek dekat Plaza Tol Bukit Kajang pada 27 September lalu.

Selain itu, sebuah lori dilaporkan rosak dekat Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Muar, Johor pada 24 Ogos lalu yang mengeluarkan asap tebal menyebabkan kemalangan 12 kenderaan akibat halangan pada jarak penglihatan.

Semalam, Utusan Malaysia turut melaporkan sebuah lori tanah hilang kawalan lalu melanggar sebuah lori sampah dan dua Perodua Myvi ketika menuruni bukit sebelum persimpangan lampu isyarat dekat Jalan Bukit Cherakah menghala ke Jalan Seri Jaya.

Harrison berkata, ketiga-tiga insiden itu menonjolkan mod kegagalan mekanikal secara amnya.

“Insiden tragik yang berlaku baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa margin keselamatan mekanikal kenderaan berat semakin menurun akibat tekanan operasi yang tinggi dan penyelenggaraan yang tertangguh.

“Tujuan utama peraturan pengangkutan adalah untuk melindungi nyawa pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kegagalan mekanikal, serta mengekalkan integriti armada kenderaan komersial,” tegasnya.

Tambahnya, JPJ perlu mengusahakan suatu tindakan drastik bagi menangani permasalahan sedemikian demi keselamatan serta kebaikan semua pengguna jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN