GOMBAK: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menubuhkan satu pasukan khas dalam masa terdekat ini bagi memantau rangkaian pos dan kurier yang disalah guna sindiket bagi mengedar dadah.
Pasukan khas ini juga membabitkan kerjasama diantara agensi lain seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menangani kemasukan dadah melalui saluran ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan maklumat, beliau percaya bahan terlarang ini telah dibawa masuk dan keluar tanpa pemantauan atau tapisan.
Hussien mengakui, banyak dadah dipercayai terlepas melalui saluran ini memandangkan banyak kelonggaran selain kekangan untuk memantau.
“Pembekal perkhidmatan terlibat perlu ada mekanisme pemantauan mereka sendiri supaya dadah-dadah ini tidak terlepas.
“Jadi, pasukan khas yang ditubuhkan ini akan melihat kepada kelompongan tersebut sebab pembekal perkhidmatan tidak boleh pantau semua kerana mereka tidak mempunyai alat pengimbas yang baik seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya ketika ditemui media selepas sidang akhbar di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.
Hussien berkata, JSJN juga dalam tindakan bersama kontinjen seperti di Kelantan untuk merobohkam jeti-jeti haram sekali gus menyukarkan pergerakan sindiket dadah membawa masuk dan keluar bahan terlarang itu dari melalui sempadan negara ini.
“Kita akan tingkatkan risikan menerusi penggunaan teknologi dan kita dalam proses perolehan teknologi yang dapat membantu mengesan dadah-dadah ini,” jelasnya.
Hussien menegaskan, aliran kewangan sindiket pengedaran dadah juga perlu diputuskan meskipun mereka berdepan kesukaran untuk mengesan kerana melibatkan jumlah yang besar.
“Selagi kita (JSJN) kita tidak lumpuhkan, sindiket ini akan mempunyai kekuatan kewangan sekali gus sindiket ini akam sentoasa wujud dan tumbuh walaupun rangkaian mereka ditumpaskan.
“Jadi, kita (JSJN) akan melihat semua ruang untuk melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket-sindiket dadah ini,” katanya.- UTUSAN








