Tubuh badan siasatan bebas cari mereka buat onar dalam parti-Bersatu Kelantan

Tubuh badan siasatan bebas cari mereka buat onar dalam parti-Bersatu Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menggesa satu badan siasatan bebas diwujudkan segera bagi mengenal pasti mereka yang membawa onar dalam parti sehingga mencertuskan pergolakan .

Pengerusinya Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, segala hasil siasatan itu perlu dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Parti untuk memulakan prosiding secara telus, adil dan berlandaskan peraturan sedia ada.

“Segala keputusan mestilah dibuat berdasarkan laporan tersebut, tanpa dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak, agar hukuman yang dikenakan diyakini adil, diterima dan dipatuhi.

“Bersatu Kelantan kesal dengan apa yang berlaku ketika ini (pergolakan peringkat tertinggi kepimpinan parti). Jika tidak dihentikan dengan kadar segera, ia boleh merebak ke peringkat bahagian dan cawangan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin memberitahu, tindakan segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan terbuka di media yang memburukkan sesama pimpinan tidak menguntungkan parti.

Katanya, ia boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Kami melihat, sebarang rasa tidak puas hati atau pembelaan diri mestilah dikemukakan melalui saluran yang betul iaitu di hadapan Lembaga Disiplin Parti dan diputuskan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Sidang media atau kenyataan terbuka hanya menjejaskan imej parti. Jadi kami menyeru semua ahli dan pimpinan untuk kembali berpegang kepada resolusi yang diterima sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) lalu serta mengamalkan disiplin parti, mengutamakan kesatuan, dan menghormati institusi kepimpinan parti,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa mengugut beberapa ketua bahagian parti itu supaya menarik balik daripada menandatangani akuan bersumpah (SD) menjatuhkan Presiden.

Mendedahkan perkara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, ugutan tersebut dibuat terhadap Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Shukor Mustafa ketika kedua-duanya dipanggil bertemu Mohamed Azmin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN