TransNusa lancar penerbangan terus Jakarta-Pulau Pinang

TransNusa lancar penerbangan terus Jakarta-Pulau Pinang

WONG HON WAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Hubungan udara antara Indonesia dan Malaysia bakal diperkukuh apabila syarikat penerbangan TransNusa Aviation mengumumkan pelancaran laluan penerbangan terus pertama antara Jakarta dan Pulau Pinang bermula 24 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, penerbangan sulung itu menandakan kemasukan rasmi TransNusa ke pasaran Pulau Pinang, sekali gus membuka satu lagi pintu masuk antarabangsa ke negeri ini.

“Pelancaran laluan ini amat signifikan dan hadir tepat pada waktunya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026). Ia juga mencerminkan komitmen Pulau Pinang dalam memantapkan sektor pelancongan antarabangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut Hon Wai, laluan baharu itu bukan sahaja akan meningkatkan hubungan udara serantau, malah akan mengeratkan lagi hubungan antara rakyat serta budaya kedua-dua destinasi.

“Tiket penerbangan boleh didapati melalui laman web rasmi TransNusa dan penerbangan Jakarta-Pulau Pinang (8B-633) akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 5.30 pagi waktu Jakarta dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada pukul 9 pagi waktu tempatan.

“Perkhidmatan ini bermula tiga kali seminggu setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sebelum ditingkatkan kepada harian pada Disember depan,” katanya yang memberitahu bagi perjalanan pulang pula, penerbangan 8B-632 akan berlepas dari Pulau Pinang pada 9.30 pagi dan tiba di Jakarta pada 10.55 pagi dengan kekerapan yang sama.

Menurut Hon Wai, selain TMM 2026, tahun depan juga telah diisytiharkan sebagai Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT 2026) dan pengisytiharan tersebut sekali gus menjadikan laluan itu penting bagi memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan perubatan dan santai serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN