Terapi menjerit kini trend golongan muda London luah tekanan

Terapi menjerit kini trend golongan muda London luah tekanan

TERAPI jeritan pernah menjadi fenomena di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat perhatian di aplikasi TikTok.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Terapi jeritan kini menjadi trend dalam kalangan golongan muda di London untuk melepaskan tekanan mental dan emosi melalui aktiviti menjerit secara beramai-ramai di taman awam.

Kaedah yang dikenali sebagai terapi jeritan itu pernah menjadi fenomena di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat perhatian ramai di TikTok sebelum menjadi popular di Britain.

Peserta akan menjerit serentak pada masa tertentu, bagi melepaskan perasaan dan tekanan.

Peserta yang mengambil bahagian di puncak Bukit Parlimen di Hampstead Heath di ibu negara Britain pada hujung minggu lalu, kebanyakannya berusia lingkungan 20-an.

“Saya rasa kita tidak sedar betapa banyak yang dipendam sehingga dapat dilepaskan semuanya,” kata Rabekah Drakes, 23, kepada AFP.

Menurut penganjur aktiviti itu, Mona Sharif, sesi menjerit tersebut diilhamkan daripada konsep terapi berkumpulan, di mana orang ramai melepaskan kekecewaan yang sukar diluahkan secara terbuka.

“Saya buat TikTok mencadangkan London adakan sesi ini. Selepas itu wujudkan satu kumpulan sembang dan dalam tiga hari, seribu orang menyertainya,” katanya.

Tinjauan YouGov yang diterbitkan bulan lalu mendapati, dua pertiga orang muda di Britain, berusia 16 hingga 25 tahun, mengalami masalah mental terutama berkaitan pembelajaran atau isu kewangan.

Sebelum sesi jeritan beramai-ramai, peserta secara bergilir naik ke atas bangku untuk berkongsi pengalaman mereka tentang rasa sunyi atau kesukaran mencari tempat dalam masyarakat.

Ada juga yang berkongsi perkara yang membuat mereka marah dan kecewa, termasuk isu-isu terkini di media.

“Jika anda mengikuti berita politik antarabangsa, ia memang sangat memeritkan. Saya benar-benar memerlukan ruang seperti ini di mana orang boleh menjerit dan lepaskan segala tekanan,” kata Rifa Uddin, pelajar berusia 19 tahun.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN