ISTANBUL: Jurucakap Global Sumud Flotilla (GSF) bagi kapal Maghreb, Wael Naouar, mengesahkan cubaan tentera laut Israel untuk memintas konvoi itu gagal, dan kapal-kapal flotilla terus mara ke Gaza tanpa sebarang halangan.
Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata, tentera Israel pada mulanya cuba menyekat kapal utama Alma, tetapi seluruh armada berjaya melepasi tanpa halangan.
Beliau juga menceritakan percubaan kedua apabila pasukan Israel melencong ke arah kapal utama lain, Sirius, namun kapal lain tetap meneruskan perjalanan tanpa terjejas.
“Kapal Zionis hari ini memintas Alma, tetapi kapal-kapal lain mengabaikan Alma dan terus menuju Gaza,” kata Naouar.
Beliau berkata, apabila flotilla berkumpul di sekitar Sirius, tentera laut Israel mengubah sasaran, namun hasilnya sama, flotilla tetap mara ke Gaza.
Kapal perang Israel turut cuba menyerbu flotilla dari pelbagai arah untuk menghalangnya, namun semua kapal berjaya bergerak dan kekal berada di landasan.
“Walaupun anda menghentikan 47 kapal, kapal ke-48 akan terus ke Gaza,” katanya.
Sebelum ini, sebuah kapal perang besar Israel dikesan berhampiran flotilla bantuan kemanusiaan yang menuju Gaza, ketika penganjur melaporkan keadaan berjaga-jaga di laut.
Hubungan dengan kapal Alma berjaya dipulihkan selepas terputus seketika, menurut wartawan Al Jazeera di atas kapal.
Menurut wartawan itu, sebuah kapal Israel datang dalam jarak hanya lima kaki dari Alma, dan menyekat semua sistem komunikasi serta enjin kapa tersebuh sehingga tidak berfungsi.
Beliau berkata, peserta di atas kapal Alma membuang telefon bimbit mereka ke laut selaras dengan protokol keselamatan yang ditetapkan.
Wartawan itu kemudian melaporkan kapal Israel berkenaan meninggalkan kawasan tersebut, membolehkan flotilla meneruskan perjalanan ke arah pantai Semenanjung Gaza.
Flotilla, yang belayar untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, mengumumkan kapal-kapalnya kini berada kira-kira 121 batu nautika dari wilayah terkepung itu.- ANADOLU










