BESUT: Kira-kira 500 keluarga di Seberang Jerteh di sini, terpaksa mencatu bekalan air setiap hari ekoran masalah tekanan air sejak bulan lalu.
Seorang penduduk, Ruzmi Yasin, 62, berkata, bekalan air kerap terputus sehingga menyebabkan rutin harian mereka terjejas dan terpaksa menyimpan bekalan air setiap hari akibat masalah berkenaan.
“Bekalan air lazimnya mulai diperoleh pada lewat petang sehingga waktu subuh namun alirannya sangat perlahan dan tidak dapat sampai ke tangki simpanan di dalam rumah.
“Kebanyakan kami terpaksa menadah air daripada paip luar rumah kerana paip di singki atau di tandas tiada aliran air,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Seberang Jerteh.
Menurut Ruzmi, dia juga terpaksa mengambil bekalan air bersih di rumah rakan-rakan yang menggunakan sistem telaga tiub untuk keperluan memasak dan minuman harian.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Seberang Jerteh, Samsudin Mohamad berkata, bagi menangani masalah tekanan air itu berterusan, pihak berwajib perlu menaik taraf saluran paip lama untuk menampung jumlah pengguna yang semakin bertambah.
Katanya, di kawasan tersebut turut mempunyai tangki yang digunakan sejak kawasan itu dibuka pada 1986 namun ia tidak lagi beroperasi sejak 10 tahun lalu.
“Sekiranya tangki ini dapat dibaik pulih dan digunakan kembali dipercayai dapat menangani masalah air yang dihadapi penduduk di Seberang Jerteh. Kami sudah beberapa kali membuat aduan masalah ini kepada pihak berkaitan namun belum ada sebarang perkembangan dan difahamkan projek naik taraf tertangguh kerana tiada peruntukan,” katanya.-UTUSAN.










