KANGAR: Kejadian jenayah di sekolah termasuk rogol, bunuh dan buli perlu dipandang serius semua pihak termasuk ibu bapa bagi mengawal kerosakan sosial dalam kalangan remaja yang semakin parah.
Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil berkata, kerosakan sistem pendidikan ketika ini berpunca daripada pendedahan hiburan yang keterlaluan di dalam media sosial dan tidak adil mempersalahkan kerajaan, guru-guru dan Kementerian Pendidikan semata-mata.
Justeru katanya, kerajaan perlu mengambil langkah segera mengawal media sosial khususnya daripada aspek hiburan keterlaluan yang boleh merosakkan remaja sehingga terjerumus kepada jenayah di sekolah.
“Apa yang berlaku ketika ini sehingga terdapat jenayah seperti rogol dan bunuh di sekolah adalah sesuatu yang amat serius. Tidak adil kita salahkan guru, kerajaan dan pihak kementerian semata-mata sebaliknya semua pihak khususnya ibu bapa perlu sama bertanggungjawab.
“Anak perlu dididik dengan serius dengan mengurangkan pendedahan kepada hiburan khususnya di media-media sosial. Sekarang kalau dilihat, sejak kecil lagi, anak-anak sudah terbiasa dengan telefon pintar sekali gus memudahkan mereka akses dengan hiburan media sosial.
“Kerajaan, kementerian dan ibu bapa, semua kena main peranan bukan salahkan mana-mana pihak seterusnya bertanggungjawab betulkan segera sistem pendidikan dan kawal hiburan ini,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai kes rogol di sebuah sekolah di Melaka dan selang beberapa hari kemudian, negara sekali lagi gempar dengan kes pembunuhan di sekolah dan terbaharu kes rogol berkumpulan di sebuah sekolah di Baling, Kedah.
Tambah Ahmad Adnan, apa yang berlaku ketika ini menuntut semua pihak untuk bersama-sama berusaha dalam menangani masalah berkenaan demi masa hadapan anak-anak.
“Jika dahulu, rotan menjadi kaedah dalam mendidik anak-anak namun suasana sekarang ia sudah tidak bersesuaian.
“Anak sekarang lebih rasional dan kaedah yang paling sesuai ialah dengan didikan agama dan ilmu sebaiknya. Kerosakan jiwa perlu diperbaiki dan bentuk kembali jiwa anak-anak dengan agama,” katanya.-UTUSAN