SYDNEY: Pemanis semula jadi tanpa kalori, stevia, yang digunakan dalam lebih 40,000 produk di seluruh dunia, berpotensi merangsang pertumbuhan rambut bagi individu yang mengalami masalah botak.
Penyelidik di Australia mendapati jika sebatian stevia dikenali sebagai stevioside, dicampurkan dengan ubat rawatan keguguran rambut popular, minoxidil, ia mungkin membantu merangsang pertumbuhan rambut.
Minoxidil atau lebih dikenali sebagai Rogaine, merupakan rawatan keguguran rambut yang popular dan murah di Amerika Syarikat (AS), dengan anggaran 40 juta rakyat AS menggunakannya setiap tahun.
Dalam ujian ke atas tikus, saintis meletakkan tampalan microneedle yang diselitkan dengan campuran minoxidil dan steviosides pada bahagian belakang tikus yang botak setiap hari selama sebulan.
Hasilnya, pertumbuhan rambut baharu muncul pada 67.5 peratus kawasan botak pada akhir eksperimen.
Bagi tikus yang hanya menggunakan larutan minoxidil dua peratus tanpa stevioside, pertumbuhan rambut baharu hanya dilihat pada 25 peratus kawasan botak yang sama.
Bagaimanapun, penyelidik belum mengenal pasti punca ekstrak stevia dapat merangsang pertumbuhan rambut, tetapi berpendapat ia mungkin kerana membantu badan menyerap lebih banyak minoxidil, sekali gus meningkatkan keberkesanan ubat tersebut.
Minoxidil berfungsi merangsang aliran darah ke folikel rambut di kulit kepala, memanjangkan fasa pertumbuhannya dan menggalakkan helaian rambut baharu tumbuh.
Ia selamat digunakan, tetapi dalam segelintir kes, ubat itu boleh menyebabkan kesan sampingan seperti bengkak tangan dan kaki, sakit dada, pertumbuhan rambut berlebihan di muka serta badan, termasuk loya atau muntah.- AGENSI