Singapura, Indonesia terima permohonan maaf RTM

Singapura, Indonesia terima permohonan maaf RTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Singapura dan Indonesia menerima permohonan maaf Radio Televisyen Malaysia (RTM) susulan insiden kesilapan sebutan nama pemimpin kedua-dua negara itu dalam siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, beliau telah bertemu dengan wakil delegasi Indonesia dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, semalam bagi menyampaikan penjelasan serta permohonan maaf secara rasmi.

Katanya, kedua-dua pihak terbabit menerima dengan baik penjelasan dan permohonan maaf tersebut serta memahami kesilapan itu berlaku tanpa sebarang niat.

“Kita telah menyampaikan permohonan maaf secara rasmi dan mereka menerimanya dengan penuh kefahaman. Ia adalah kesilapan tidak disengajakan dan kami berasa amat kesal.

“Pesuruhjaya Tinggi Singapura turut menghargai keikhlasan kita dan menegaskan hubungan Malaysia dan Singapura kekal akrab serta mempunyai pertalian yang kukuh,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 (MENTION2025) di sini hari ini.

Sebelum ini, seorang pengulas RTM tersilap menyebut nama Perdana Menteri Singapura sebagai Lee Hsien Loong dalam siaran langsung tersebut, sedangkan jawatan itu kini disandang oleh Lawrence Wong.

Kesilapan sama turut berlaku apabila beliau menyebut nama Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia, sedangkan pemimpin berkenaan telah digantikan oleh Prabowo Subianto.

Suhaimi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan memperkukuh kawalan editorial bagi memastikan insiden seumpama tidak berulang.

“Kita sudah menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca sebenar dan akan mengambil tindakan sewajarnya selepas laporan lengkap diterima,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN