KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur akan menjadi antara yang terbaik pernah dianjurkan.
Beliau berkata, persiapan rapi sedang giat dijalankan semua agensi terlibat bagi memastikan persidangan itu berjalan lancar dan meninggalkan imej positif terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah.
“Seperti mana kita sedia maklum, para petugas yang bertungkus-lumus termasuk Kementerian Luar Negeri , Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Kastam Diraja (JKDM) telah memainkan peranan besar dalam membuat persiapan.
“Kita doakan agar persidangan ini berjalan lancar dan memberikan imej terbaik kepada Malaysia,” katanya dalam sesi sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang bertanya mengenai persiapan akhir terhadap penganjuran Sidang kemuncak ASEAN ke-47.-UTUSAN.










