KANGAR: Keadaan jangkitan Influenza A di negeri ini khususnya di sekolah-sekolah perlu diberi pehatian serius oleh seluruh masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa negeri, Marzita Mansor berkata, beliau mengambil maklum laporan mengenai 19 kes Influenza A yang telah dikesan di lima buah sekolah di negeri Perlis.
Katanya, perkembangan itu perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak bukan sahaja ibu bapa dan pihak sekolah, tetapi juga seluruh masyarakat.
“Saya menyeru agar kita semua sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal jangkitan Influenza A seperti demam tinggi, batuk, sakit tekak dan keletihan.
“Sekiranya anak-anak atau ahli keluarga menunjukkan simptom, berilah rehat secukupnya di rumah dan elakkan hadir ke sekolah atau tempat kerja buat sementara waktu bagi mengelakkan penularan.
“Sebagai seorang ibu, saya amat memahami kegusaran apabila anak tidak sihat. Namun langkah pencegahan amat penting.
“Pastikan kita semua menjaga kebersihan diri, mencuci tangan dengan kerap, memakai pelitup muka di tempat sesak, serta memastikan persekitaran sentiasa bersih dan selamat,” katanya di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 19 kes Influenza A direkodkan di sekolah rendah dan menengah sekitar Perlis bagi tempoh bermula dari 1 sehingga 13 Oktober.
Bagaimanapun, tiada mana-mana sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis ditutup berikutan daripada penularan virus berkenaan.
Marzita turut menyeru semua pihak memainkan peranan dalam memelihara kesihatan anak-anak serta kesejahteraan masyarakat Perlis.-UTUSAN