Raja Muda Perlis berkenan santuni delegasi dari enam wilayah Andaman - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis berkenan santuni delegasi dari enam wilayah Andaman

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) berkenan menyampaikan cendera kenangan kepada wakil delegasi terlibat dalam majlis di Dewan Kuliyyah MAIPs, Pengkalan Asam, Kangar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni delegasi dari enam wilayah Andaman, Selatan Thailand, di Dewan Kuliyyah MAIPs, Pengkalan Asam, baru-baru ini.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.

Kunjungan delegasi itu ke negeri ini adalah bersempena dengan Sesi Libat Urus Garis Panduan Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara di Negeri Perlis Tahun 2025.

Delegasi berkenaan diketuai oleh Penasihat Andaman Islamic Committee Leaders Federation Thailand merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Krabi, Asnawi Mukura.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Phuket, Somdech Mankarn; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Satun, Nuruddin Yayaman, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Phang Nga, Prasert Prasankan, Setiausaha Majlis Agama Islam Ranong, Yuranan Manjit; serta Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Trang, Banleur Muaddewa.

Dalam perkembangan sama, kunjungan delegasi itu juga dilihat dapat mengukuhkan lagi hubungan erat antara Perlis dan enam wilayah Andaman di Selatan Thailand meliputi aspek keagamaan, pendidikan Islam dan pembangunan masyarakat Muslim secara menyeluruh.

Sementara itu, Mohd Nazim menerusi ucapannya berkata, MAIPs sentiasa komited memastikan perkongsian ilmu kepakaran serta pengalaman dapat dilaksanakan sejajar dengan hasrat kemakmuran bersama bagi menghasilkan impak positif buat komuniti dua negara.

Beliau turut menyatakan harapan agar sesi perkongsian pengurusan fail yang dilaksanakan oleh JAIPs itu dapat menjadi manifestasi kepada usaha memperkukuh tadbir urus Islam merentasi sempadan.

“Sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal Islam, aspek menjaga kepentingan agama perlu sentiasa diberi keutamaan agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan demi kepentingan agama dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN