Putera Andrew serah gelaran diraja susulan skandal Epstein

Putera Andrew serah gelaran diraja susulan skandal Epstein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Putera Andrew mengumumkan keputusan untuk melepaskan semua gelaran dirajanya termasuk gelaran Duke of York, dalam satu kenyataan peribadi yang dikeluarkan semalam, selepas berbulan-bulan berdepan tekanan hebat berhubung kaitannya dengan pesalah seks, Jeffrey Epstein.

Dalam kenyataan tersebut, Putera Andrew menegaskan beliau masih menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan yang dikaitkan dengannya, namun menjelaskan keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Raja Charles III dan seluruh keluarganya.

“Selepas perbincangan dengan Raja serta keluarga terdekat, kami bersetuju bahawa tuduhan berterusan terhadap saya telah mengalihkan tumpuan daripada tugas-tugas baginda dan keluarga diraja.

“Saya memutuskan, seperti biasa, untuk mengutamakan tanggungjawab saya terhadap keluarga dan negara. Dengan persetujuan baginda, saya tidak lagi akan menggunakan gelaran serta anugerah yang telah dikurniakan kepada saya,” katanya.

Putera Andrew juga berkata beliau berpegang pada keputusannya lima tahun lalu untuk menarik diri daripada kehidupan awam.

Keputusan untuk menghentikan penggunaan gelaran dibuat selepas perbincangan bersama Putera William, Prince of Wales, dan Raja Charles.

Walaupun beliau masih kekal sebagai seorang putera, Andrew tidak lagi akan memegang gelaran Duke of York yang dianugerahkan mendiang Ratu Elizabeth II.

Sebelum ini, beliau digugurkan sebagai anggota rasmi keluarga diraja dan tidak lagi menggunakan gelaran His Royal Highness (HRH) serta tidak menghadiri sebarang acara rasmi diraja.

Kini, peranannya dalam institusi diraja Britain semakin mengecil.

Putera Andrew telah lama dikaitkan dengan beberapa kontroversi, termasuk penyelesaian luar mahkamah dengan Virginia Giuffre pada 2022, yang menuduh beliau melakukan hubungan seks dengannya ketika berusia 17 tahun.

Putera Andrew menafikan semua tuduhan tersebut namun bersetuju membayar pampasan kepada Giuffre bagi menamatkan kes sivil yang difailkan di mahkamah Amerika Syarikat (AS).

Putera Andrew dijangka kekal menetap di kediamannya, Royal Lodge di Windsor, di bawah pajakan peribadi yang sah hingga tahun 2078. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN