REMBAU: Proses bedah siasat jenazah kanak-kanak lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri di tandas sekolahnya semalam selesai dilaksanakan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini kira-kira pukul 5 petang tadi.
Pengurusan jenazah kanak-kanak berusia 10 tahun itu termasuk memandikan dan mengkafankan diuruskan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermula pukul 5.30 petang yang kemudiannya akan dibawa ke di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, Seremban untuk dikebumikan selepas solat Maghrib.
Sementara itu, suasana sayu menyelubungi Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau apabila ibu bapa kanak-kanak itu terpaksa dipapah ahli keluarga serta kenalan selepas selesai proses bedah siasat berkenaan.
Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, pihak keluarga belum sedia untuk ditemubual berikutan masih bersedih serta menyerahkan kepada pihak polis berhubung siasatan kes kematian tersebut yang dikaitkan dengan kes buli.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan secara menyeluruh dilaksanakan untuk menentukan sama ada wujud atau tidak sebarang unsur buli dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 C Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 1.19 tengah hari semasa mangsa menerima rawatan di sebuah klinik swasta.
“Mangsa telah dihantar oleh guru disiplin untuk menerima rawatan di klinik tersebut, namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas lelaki sebelum di bawa ke klinik swasta berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya lanjut mengenai individu yang telah dipanggil untuk membantu siasatan, beliau tidak mendedahkannya serta menyatakan perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan selesai.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengesahkan maklumat tular mengenai insiden seorang murid ditemukan tidak sedarkan diri di sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bagaimanapun memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan bagi menjaga emosi keluarga, selain menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan penuh.-UTUSAN.









