PRN Sabah: Kerajaan perlu pertimbang undi pos

PRN Sabah: Kerajaan perlu pertimbang undi pos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Sabah di Semenanjung berharap kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan sistem undi pos menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN-17) Sabah pada 29 November ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata mereka tidak dapat pulang ke Sabah atas faktor tuntutan kerja, pengajian serta kos tiket penerbangan yang semakin meningkat.

Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd. Amin Mohamad, 23, berkata, dia tidak dapat pulang ke Sabah untuk mengundi berikutan tuntutan pengajian yang baru sahaja bermula bagi semester baharu.

“Sebagai pelajar, saya tidak mampu menanggung kos tiket yang meningkat selain perlu memberi tumpuan kepada pengajian saya yang baru sahaja bermula untuk semester ini.

“Saya juga kebiasaannya akan pulang ke Sabah pada musim perayaan sahaja. Namun, saya tetap mengikuti perkembangan politik Sabah melalui media sosial,” katanya.

Dia dalam pada itu berharap kerajaan negeri baharu kelak bakal memberi tumpuan terhadap isu pendidikan dan peluang pekerjaan yang masih terhad di negeri itu.

“Saya harap juga kerajaan baharu dapat fokus pada pendidikan dan pekerjaan kerana bagi saya tahap kedua-duanya itu masih terhad di Sabah. Sejujurnya, sudah pasti saya mahukan pekerjaan yang stabil dan dekat dengan keluarga namun peluang di sana sangat terhad dan gaji tidak sepadan,” ujarnya.

Seorang lagi penuntut Universiti Malaya, Alieya Tasuha Ibrahim, 23, berkata, kemudahan undi pos wajar diadakan bagi memudahkan rakyat di perantauan menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Bagi saya, undi pos sangat wajar kerana ia memudahkan rakyat Sabah di perantauan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Kalau ada sistem, itu, sudah tentu kami akan turut mengundi.

“Namun, sistem pengundian pos itu perlu dilaksanakan dengan telus dan tidak menyusahkan rakyat,” katanya.

Seorang jururawat, Izzatul Salyaina Tassim, 30, pula mengakui sukar untuk pulang semata-mata untuk mengundi kerana kos perjalanan dari Semenanjung ke Sabah agak mahal.

“Tanpa kemudahan seperti undi pos, agak sukar sebenarnya untuk pulang semata-mata bagi mengundi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN