SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) akan membuat keputusan rasmi berhubung penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang sudah ditetapkan pada 29 November depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kepemimpinan parti sudah pun mengenal pasti kerusi-kerusi tumpuan untuk ditandingi parti pada PRN tersebut menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi PN, malam tadi.
“PN akan mengambil bahagian aktif dalam Pilihan Raya Negeri Sabah. PN (juga) mengenalpasti kerusi-kerusi tumpuan dan akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 16 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Sabah pada 29 November susulan pembubaran Dewan Undangan Negerinya (DUN) pada 6 Oktober lalu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala tarikh mengundi awal pula pada 25 November. – UTUSAN








