KLANG: Kekuatan lebih 15,000 pegawai dan anggota polis di Selangor digerakkan sepanjang musim perayaan Deepavali pada Isnin ini yang disusuli dengan kawalan keselamatan bagi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua pegawai bersama anggota ditugaskan mulai 18 hingga 30 Oktober bagi memastikan kawalan keselamatan awam pada musim perayaan serta sidang kemuncak tersebut berjalan dengan lancar.
“Langkah itu penting bagi memastikan semua penugasan dapat dijalankan dengan baik dan tidak menjejaskan kawalan keselamatan.
“Dari segi keanggotaan, kita berada dalam keadaan mencukupi,” katanya selepas menyertai program walkabout bersama usahawan Little India sempena Deepavali, semalam.
Beliau berkata, polis negeri turut melancarkan beberapa operasi khas bagi memantau kegiatan jenayah di kawasan tumpuan, khususnya di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.
“Kita tidak buat operasi secara rambang. Setiap tindakan berdasarkan analisis jenayah dan keperluan semasa. Rondaan juga akan diteruskan dan dipertingkat bukan hanya pada musim perayaan,” jelasnya.
Shazeli turut menggesa orang ramai menyertai kempen pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebagai saluran menyalurkan maklumat dan aduan kepada pihak polis bagi membantu usaha pencegahan jenayah. – UTUSAN










