PN bentang belanjawan Alternatif pada Isnin masa sidang Parlimen

PN bentang belanjawan Alternatif pada Isnin masa sidang Parlimen

TAKIYUDDIN Hassan (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang semasa Sambutan Malam Kebudayaan Perayaan Pesta Tanglung di Kota Bharu, Kelantan malam tadi-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan membentangkan belanjawan Alternatif kepada Belanjawan 2026 yang sudah diumumkan oleh kerajaan semasa sidang Parlimen pada Isnin ini.

Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, segala tawaran balas dan pandangan kepada belanjawan 2026 itu akan dikemukan semasa sesi perbahasan itu.

“Perkara ini akan dibawa oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin. Segala tawaran serta pandangan yang diberikan itu merupakan belanjawan Alternatif kepada Belanjawan 2026.

“Pandangan kita, belanjawan 2026 tidak ada banyak perubahan terutama dalam membantu rakyat. Kami seboleh-bolehnya mahu kerajaan memberikan penekanan kepada peningkatan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Malam Kebudayaan Perayaan Pesta Tanglung di sini malam tadi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, kerajaan membentangkan cadangan belanjawan Persekutuan RM419 bilion untuk 2026 ketika Putrajaya memberi amaran pertumbuhan ekonomi lebih rendah disebabkan perang tarif global, mengimbangi defisit kewangan dan mengelak negara terjerumus hutang tidak terkawal.

Kerajaan Madani yang me­ngambil alih Putrajaya kira-kira tiga tahun lalu tidak memperkenalkan cukai baharu kecuali rokok dan arak, mengekalkan subsidi walaupun ekonomi negara dijangka lebih rendah tahun hadapan akibat permintaan luar yang menurun dan kesan perang tarif kepada eksport Malaysia.

Untuk tahun hadapan, kerajaan mencadangkan peruntukan Persekutuan RM338.2 bilion untuk belanja mengurus dan RM81 bilion untuk pembangunan berbanding RM421 bilion yang diperuntukkan pada 2025 merangkumi RM335 bilion untuk mengurus dan RM86 bilion belanja pemba­ngunan.

Perbelanjaan mengurus me­ningkat satu peratus, sebahagian besar disebabkan kenaikan gaji kakitangan awam dan bayaran persaraan berbanding 2025 tetapi peruntukan untuk pembangunan susut 5.8 peratus berbanding tahun ini.

Keperluan untuk mencapai defisit fiskal 3.5 peratus serta unjuran pendapatan yang le­bih rendah memaksa Putrajaya mengurangkan peruntukan pembangunan dan tanggungan hutang negara.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurusan kewangan dan defisit menjadi tumpuan bagi menyelamatkan negara daripada hutang yang menjejaskan masa depan negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN