PM kecam tindakan Israel pintas kapal misi FFC, TMTG

PM kecam tindakan Israel pintas kapal misi FFC, TMTG

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tentera Zionis Israel yang memintas kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa pagi tadi.

Kata beliau, tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan, mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.

“Saya dimaklumkan bahawa kapal misi kemanusiaan FFC dan TMTG yang turut membawa rakyat Malaysia telah dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa oleh tentera Zionis Israel.

“Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat,” katanya di akaun media sosial miliknya hari ini.

Kata Anwar, kerajaan Malaysia menuntut pembebasan segera semua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal berkenaan, serta memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang tempoh tahanan.

“Saya menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil langkah diplomatik dan bekerjasama dengan negara-negara sahabat serta pertubuhan antarabangsa bagi memastikan pembebasan segera rakyat Malaysia yang terlibat.

“Kerajaan Madani akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini dan akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kapal Conscience bersama lapan kapal layar yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition-Thousand Madleens To Gaza dipintas tentera Israel ketika berada kurang 130 batu nautika dari perairan Gaza, sebentar tadi.

Pintasan itu berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi (waktu Malaysia) selepas kesemua kapal berkenaan dihampiri beberapa bot tentera rejim Zionis.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN