JASIN: Seorang petugas pembersihan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor kuda yang melintas jalan di Jalan Sempang Bukit Kuda, Merlimau di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Nor Azlinda Nordin berkata, kejadian pada kira-kira pukul 7.10 pagi tadi berlaku ketika mangsa, Rajak Ismail, 59, dalam perjalanan dari kediamannya di Serkam menuju ke tempat kerja dan dipercayai melanggar haiwan itu yang melintas dari arah kiri jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat. Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran dan polis sudah mengesan serta menemu bual pemilik kuda berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya hari ini.
Saksi awam yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Aqil Yusoff di talian 013-9393747.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










