KANGAR: Perpustakaan masih kekal relevan dengan data pada tahun lalu sahaja merekodkan seramai 8,281,541 pengguna telah menggunakan perkhidmatan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Ia sekali gus membuktikan perpustakaan terus menjadi pusat rujukan, pembelajaran dan interaksi sosial penting dalam membina masyarakat berpengetahuan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 56,473 program galakan membaca telah dilaksanakan di seluruh negara.
Katanya, program itu menjadi langkah strategik ke arah mencapai misi negara membaca menjelang 2030 iaitu membina masyarakat berilmu melalui pembacaan.
“Kementerian Perpaduan Negara melalui PNM terus membuktikan komitmen memperkukuh budaya ilmu. Sebelum ini sering timbul persoalan tentang kerelevanan perpustakaan di era digital kini.
“Ada beranggapan perpustakaan semakin sunyi kerana buku boleh diakses secara dalam talian dan ada yang menyifatkan ia membosankan. Namun, fakta yang ada itu membuktikan sebaliknya,” katanya.
Pihak kementerian juga mengambil perhatian terhadap cabaran terutama persepsi generasi muda yang kadang-kala menganggap perpustakaan itu membosankan.
Katanya, pendekatan proaktif dijalankan untuk menghidupkan semula pengalaman di perpustakaan, termasuk aktiviti interaktif, teknologi digital dan pengalaman pembelajaran menyeronokkan.
“Kementerian memastikan perpustakaan kekal re levan, menarik dan sesuai dengan gaya hidup generasi muda sambil memupuk minat membaca dan budaya ilmu sebagai asas pembinaan masyarakat berpengetahuan,” katanya.-UTUSAN.










