PADANG BESAR: Tanaman berskala besar durian musang king dan duri hitam serta kelapa pandan di kawasan Felda Chuping di sini bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri melalui penghasilan tanaman bernilai tinggi.
Ladang durian dan kelapa pandan berkeluasan 91.86 hektar itu diusahakan secara usahasama syarikat Impianan Utara (PS) Sdn. Bhd. dan Koperasi Generasi Felda Baru Berhad (KGFB) di tanah milik Perlis Integrated Technology Complex (PITC) Felda Chuping di sini.
Ia merangkumi dua komponen utama iaitu tanaman kelapa pandan di kawasan seluas kira-kira 59.49 hektar membabitkan lebih 23,000 pokok, manakala tanaman durian musang king dan duri hitam pula di kawasan seluas 32.37 hektar membabitkan lebih 2,000 pokok.
Kelapa pandan yang mula ditanam sejak 2022 dijangka mengeluarkan hasil pada 2027, manakala musang king dan duri hitam dalam tempoh antara lima ke tujuh tahun.
Pengerusi PS Sdn. Bhd, Datuk Syed Tajul Arif Syed Baharoon Aljumlud berkata, perancangan projek masa depan pula membabitkan cadangan pembangunan fasa baharu tanaman durian duri hitam seluas lebih 121.41 hektar bagi menjadikan Perlis sebagai hab baharu durian premium di utara Malaysia.
Selain itu, katanya, perancangan turut membabitkan pembangunan zon agro-pelancongan seluas 18.21 hektar yang akan menempatkan pusat pelancongan tani, penginapan inap desa dan chalet, pusat pameran buah-buahan eksotik serta aktiviti pendidikan dan rekreasi berasaskan pertanian.
“Projek tanaman durian premium dan kelapa pandan itu berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perlis melalui penghasilan tanaman bernilai tinggi.
“Ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan malah turut memperkukuh jenama agro Perlis di peringkat antarabangsa khususnya untuk pasaran eksport ke China,” katanya ketika menyampaikan sembah taklimat berkaitan tanaman berkenaan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan berangkat mengadakan lawatan di ladang tersebut di sini semalam.
Berangkat sama, anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail; Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Lawatan dimulakan dengan tinjauan sekitar ladang berkenaan iaitu di empat lokasi utama yang menempatkan kawasan tanaman kelapa pandan, ladang durian musang king, duri hitam serta kawasan peralatan dan jentera pertanian.
Tambah Syed Tajul, perancangan itu seiring dengan hasrat kerajaan negeri dan visi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk menjadikan sektor agro-pelancongan sebagai pemacu ekonomi baharu negeri.
“Ia selaras dengan arah tuju pembangunan mampan dan berimpak tinggi,” katanya.-UTUSAN










