KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak dakwaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) 2025 dengan Amerika Syarikat (AS) menjejaskan kedaulatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia boleh menamatkan perjanjian berdasarkan klausa ditetapkan.
Kata beliau, perjanjian yang ditandatangani bersama Presiden, Donald Trump itu telah diteliti oleh pegawai kerajaan bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
Katanya, antara yang termaktub dalam perjanjian itu adalah exit clause (klausa keluar) berkaitan pertimbangan keselamatan dan law of the land (undang-undang negara).
“Sebab itu saya kata baca, jangan marah saja, baca dulu dengan teliti, exit clause itu ditekankan dengan serius oleh rakan-rakan dalam Kabinet.
“Soal rare earth (unsur nadir bumi), semikonduktor, kita sudah sebut, kalau umpamanya pelaburan AS di sini mereka tidak mahu dieksport ke China tidak apalah kerana pelaburan dia.
“Tetapi pelaburan China ke sini, dia hendak bawa balik ke China atau ke mana-mana dunia, kita tidak menyekat,” katanya katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mendakwa terdapat 40 klausa yang mengikat Malaysia, selain turut menyamakan perjanjian itu sebagai satu bentuk penjajahan terhadap negara.
Perdana Menteri berkata, pemikiran bahawa kerajaan sedang menggadai negara atau Perjanjian ART 2025 adalah satu bentuk penjajahan baharu wujud dalam kalangan pembangkang adalah disebabkan menjadikan fakta separuh benar sebagai kebenaran mutlak.
Katanya, sikap begini menjadikan tiada satu pun kejayaan Malaysia dilakar pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru dihargai bahkan ditolak mentah-mentah.
“Dengan prasangka begitu ini jadinya, menyerah, menggadai, penjajahan baharu. Tak ada. Kita ini bukan ‘antek’ (budak suruhan) atau boneka Amerika Syarikat,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak akan mengambil sikap apologetik dalam perjanjian timbal balik dengan Amerika Syarikat yang ditandatangani kerana Malaysia perlukan pelaburan daripada negara kuasa besar tersebut.
“Perjanjian perdagangan ini, semua ada exit clause. Mengapa kita sign (tandatangan) juga, kerana kita perlu pelaburan dari Amerika Syarikat. Itu saya tidak mahu apologetik.Soal menyerah (negara) tidak timbul.
“Dulu kita baik dengan China pun kita diserang, sekarang nampak baik dengan Amerika Syarikat pun tak boleh. Jadi hendak kena baik dengan siapa? Kelantan dengan Kedah saja?,” katanya. – UTUSAN










