BOGOTA: Keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk membekukan bantuan bernilai jutaan dolar kepada Colombia serta menuduh Presiden Gustavo Petro sebagai pengedar dadah menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang sekian lama terjalin.
Langkah itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan sektor perniagaan di Colombia susulan ancaman Trump untuk mengenakan tarif perdagangan besar-besaran.
Namun, di sebalik ketegangan itu, Presiden Petro dilihat tenang dan tidak terjejas dengan tindakan Washington, walaupun krisis tersebut dijangka memberi kesan terhadap politik domestik menjelang pilihan raya presiden 2026.
Bekas gerila yang kini bergelar ahli politik itu dilihat memanfaatkan pertelingkahan dengan Trump sebagai strategi untuk mengukuhkan sokongan penyokong tegar dan menarik perhatian pengundi menjelang pilihan raya presiden Colombia pada Mei depan.
Petro bertindak menarik pulang duta Colombia dari Washington, melancarkan serangan terhadap Trump melalui siri hantaran panjang di media sosial dan kenyataan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil menggunakan retorik nasionalisme yang semakin lantang.
“Presiden Trump tidak suka apabila kami tidak berada di bawah kawalannya,” tulis Petro di platform X pada 21 Oktober, sambil mendakwa wujud ancaman pencerobohan oleh Amerika Syarikat dan menyatakan “mereka mahu melakukan rampasan kuasa terhadap saya.”
Ketika lawatannya ke New York pada September lalu, Petro menggesa tentera AS supaya tidak mematuhi arahan Trump, tindakan yang membawa kepada larangan visa ke atasnya oleh Washington.
Pada hujung minggu lalu, Petro turut menyatakan sokongan terhadap demonstrasi di AS dengan memuat naik hantaran bertulis ‘No to kings’ serta berkongsi video protes di media sosial.
Hubungan antara AS dan Colombia kini berubah secara drastik sejak kedua-dua pemimpin itu mengambil alih kuasa.
Selama beberapa dekad, kedua-dua negara bekerjasama rapat dalam membanteras kartel dadah, menjalin hubungan perdagangan yang kukuh dan menikmati kerjasama politik erat, malah Colombia pernah dianggap sekutu paling rapat Washington di Amerika Selatan.- AGENSI