KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bermula hari ini akan menyaksikan penyelesaian kepada konflik serantau dan antarabangsa sebagai agenda dan tumpuan utama.
Penyelesaian ini penting ekoran konflik yang melanda itu telah memberi kesan kepada kestabilan politik malah iklim ekonomi banyak negara lain.
Perkara itu termasuklah berkenaan konflik sempadan di antara Kemboja dan Thailand, isu kemanusiaan di Myanmar, pertikaian membabitkan Laut China Selatan, konflik Gaza yang berlarutan lebih dua tahun malah tidak terkecuali peperangan membabitkan Russia-Ukraine.
Selepas beberapa siri dialog di peringkat Menteri Pertahanan dan Menteri Luar diadakan, penyelesaian isu Kemboja-Thailand membuktikan ASEAN mampu mengelola sepenuhnya pertikaian dalaman tanpa perlu melibatkan kuasa besar.
Ia juga menunjukkan keberkesanan peranan Malaysia sebagai mediator membantu menyelesaikan pertikaian melibatkan sempadan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN perlu menjadi pihak yang bersuara.
“Suara yang telah kita bina bersama dan akan terus kita pupuk adalah suara yang mampu mengubah dunia. Saya amat yakin akan hal ini.
“ASEAN memikul tanggungjawab amat besar di atas bahunya. Kita mewakili pandangan global yang dinamik, harapan hampir 700 juta rakyat untuk masa depan yang selamat dan mampan serta bentuk multilateralisme inklusif yang mempunyai begitu banyak perkara untuk ditawarkan kepada dunia keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.
Mohamad berkata, pertikaian sempadan antara negara jiran telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti ASEAN, sekali gus mengingatkan rantau ini betapa rapuhnya keamanan.
Katanya, dengan hasil usaha mediasi, ketegangan tersebut kini reda dengan kedua-dua negara memilih jalan diplomasi dan dialog untuk menyelesaikan perbezaan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berasa rendah diri atas kepercayaan yang diberikan untuk memudah cara usaha ini dan akan terus menyokong kedua-dua pihak sepenuhnya.
“Justeru, menegakkan komitmen kita terhadap ASEAN Way (Cara ASEAN) amat penting ketika kita mengemudi perubahan zaman,” katanya.
Menyentuh pertikaian Laut China Selatan, Mohamad berkata, pendekatan yang terbuka diambil namun tetap tegas dan bersepadu dalam usaha menyelesaikannya.
Tambahnya, sebagai Penyelaras Negara ASEAN bagi China dari Ogos 2024 hingga Julai 2027, Malaysia kekal komited memperjuangkan kepentingan bersama khususnya dalam pelaksanaan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan.
Merujuk konflik Gaza, Mohamad berkata, dunia telah menyaksikan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin selama dua tahun kebelakangan ini yang merupakan tragedi dahsyat melibatkan kehilangan nyawa.
“ASEAN menyambut baik usaha untuk mewujudkan penghentian keganasan di Gaza dalam fasa pertama Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Trump,” jelasnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ini yang dihadiri pemimpin ASEAN turut menyaksikan upacara Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN sekali gus menandakan keanggotaan negara tersebut sebagai negara anggota ke-11.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mempengerusikannya yang terdiri daripada sesi pleno dan pemukiman.
Pada sesi pemukiman, para pemimpin menilai pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara mengenai Myanmar serta hala tuju menangani krisis politik dan kemanusiaan di negara tersebut yang kini terjerumus dalam krisis politik dan kemanusiaan.
Sesi pleno akan melibatkan penyertaan tetamu-tetamu Pengerusi ASEAN antaranya Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney serta Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.
Para pemimpin menumpukan perbincangan isu-isu berkaitan pembangunan komuniti dan hubungan luar serta usaha untuk memperkukuh integrasi serantau, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan ketersambungan ASEAN.
Kanada dan Kesatuan Eropah bakal berkongsi pandangan mmengenai usaha mengukuhkan hubungan dialog dengan ASEAN.
Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan membuat pembentangan mengenai penilaian makroekonomi global terkini, implikasi dasar dan langkah untuk memperkukuh kerjasama antara IMF dan ASEAN.
Dalam perkembangan lain, rundingan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat khususnya membabitkan tarif juga dimuktamadkan hari ini ketika lawatan sulung Presiden Donald Trump ke Malaysia.-UTUSAN.











